KEMAHIRAN BERFIKIR DARI PERSPEKTIF SEJARAH


Ada baiknya kita soroti sedikit kemahiran berfikir dari perspektif sejarah dan kesannya kepada kefahaman tentang konsep Kemahirab berfikir itu sendiri. Berfikir yang juga dikenali pada mulanya sebagai pemikiran kritis yang juga merangkumi pemikiran kreatif telah mula diberi perhatian istimewa oleh tamadun manusia semenjak zaman Socrates, 2500 tahun dahulu lagi. Dalam menitikberatkan pemikiran kritis dalam kehidupan manusia, Socrates telah berjaya menggunakan keberkesanan soalan untuk menilai dan mempertingkatkan kebolehan seseorang menjana dan memberikan buah fikiran. Socrates telah menyatakan bahawa buah fikiran yang bernas tidak semestinya dihasilkan oleh seseorang yang mempunyai kuasa atau authoriti sahaja. Beliau telah membuktikan bahawa seseorang yang mempunyai kuasa dan kedudukan, kadang-kadang boleh melakukan tindakan yang membingungkan dan tidak diterima akal. Beliau menyarankan betapa pentingnya soalan-soalan aras tinggi yang beliau sebut sebagai ‘deep questions’ diajukan untuk menggalakkan seseorang berfikir secara kritis sebelum satu-satu buah fikiran dapat dan layak diterima pakai.

Dia juga menyatakan betapa pentingnya seseorang berupaya melahirkan hujah yang kukuh sebelum buah fikirannya dapat diterima. Keupayaan ini merangkumi kebolehan melihat secara objektif, mentaakul dan membuat saranan, menganalisa konsep-konsep asas, dan juga menyoroti implikasi bukan sahaja terhadap apa yang dinyatakan tetapi juga apa yang telah dilakukan dengan perbuatan. Metod penyoalan Socrates yang dikenali sebagai “Socratic questioning” atau “Penyoalan Socratic” masih di anggap sebagai satu cara terbaik dalam pengajaran berfikir secara kritis dan kreatif dan masih banyak diamalakan hingga ke hari ini.

Idea Socrates dalam berfikir secara kritis dan kreatif telah disoroti oleh Plato (murid Socrates yang banyak membuat catatan tentang pemikiran Socrates) dan Aristotle (seorang lagi ahli falsafah Greek). Mereka  dan ahli falsafah Greek yang lain menyarankan betapa perlunya manusia berfikir sebelum menerima sesuatu kerana realiti sesuatu  itu mungkin berbeza dari keadaan lahiriahnya – cuma minda yang terlatih  (trained mind) sahaja yang dapat membezakannya apa yang dilihat oleh mata kasar (delusive appearances) dengan apa yang sebenarnya tersirat disebalik kulit luarannya (the deeper realities of life). Bertitik tolak dari saranan tradisi Greek ini, lahir keperluan bagi manusia untuk mencari kebenaran tersembunyi (deeper realities), berfikir secara sistematik, menyoroti implikasi secara meluas dan mendalam – kerana cuma dengan berfikir secara komprehensif, ‘well-reasoned’, dan bersifat responsif terhadap tentangan dan kejanggalan sahaja yang membolehkan manusia berfikir secara mendalam dari cuma menghayati apa yang terpapar pada sifat lahiriah sahaja. Tradisi ini adalah selari dengan apa yang disarankan oleh Islam supaya manusia meneliti kebesaran dan kehebatan Pencipta alam ini disebalik keindahan ciptaanNya yang berupa bintang-bintang, gunung ganang, matahari dan bulan yang sentiasa menakjubkan mereka yang ingin berfikir. Keyakinan yang didasarkan kepada Al-Quran, hadith dan sunnah, ijmak dan ulamak adalah mutlak dan tidak boleh dipersoalkan. Berfikir dalam Islam adalah dalam lingkungan yang dibenarkan oleh syara’ dan tidak bertentangan dengan syariat Islam itu sendiri.

0 comments:

Post a Comment

Followers

Copyright 2009 PENGAJARAN KEMAHIRAN BERFIKIR (KPD6034). All rights reserved.
Free WPThemes presented by Leather luggage, Las Vegas Travel coded by EZwpthemes.
Bloggerized by Miss Dothy